Thursday, July 31, 2008

MB Perak pelawa Tajol sertai Pakatan Rakyat

Wan Nordin dan Azamin Amin | Foto Nasir Sudin
Thu | Jul 31, 08 | 11:47:46 pm MYT


IPOH, 1 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin mempelawa Pengerusi Umno Perak, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali menyertai Pakatan Rakyat.

Beliau membuat pelawaan itu sebagai respons balas kepada pelawaan Tajol Rosli yang mengajak Nizar menyertai kerajaan yang kononnya boleh dibina jika PAS dan Umno bekerjasama.

Tajol juga menawarkan kedudukan sebagai Menteri Besar kepada Nizar, sedangkan kata Nizar beliau telah menjawat jawatan itu bersama Pakatan Rakyat.

Namun, Nizar yang telah dilantik sebagai Menteri Besar sebaik sahaja Pakatan Rakyat memerintah Perak, menolak tawaran Tajol yang disifatkan sebagai 'senda gurau'.

"Terima kasih atas tawaran itu, saya juga nak buat tawaran kepada dia setelah PAS Pusat menolak tawaran kerjasama dengan Umno, sebagai Menteri Besar eloklah saya buat tawaran kepada Tajol dan rakan-rakan untuk menyertai kami (Pakatan Rakyat)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak dekat sini petang Khamis, 31 Julai.

Terdahulu beliau telah bertemu dengan Mufti Kerajaan Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria selama sejam dan kemudian bertemu dengan kakitangan Jabatan Agama Islam Perak.

Turut serta dalam pertemuan dengan jabatan tersebut ialah, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato' Jamry Sury; Setiausaha Politik MB, Misbahul Munir Masduki dan Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim.

Mengulas lanjut isu pelawaan tersebut, Nizar berkata, Tajol dan rakan-rakannya dari Umno dan Barisan Nasional boleh menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau juga berpendirian PAS Perak dari awal lagi menolak kerjasama dengan Umno, sebaliknya konsisten akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Malah kerajaan Pakatan Rakyat yang dibina di Perak telah diperkenan Sultan Perak selain mereka telah bersetia untuk terus bersama Pakatan Rakyat.

Sementara itu ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Norazli Musa pula menyatakan kerjasama antara Pakatan Rakyat di Perak semakin baik sejak isu muzakarah Umno-PAS dimanipulasi media.

Malah katanya, di peringkat pemuda kesemua parti dalam Pakatan Rakyat akan mengadakan 'road show' untuk menjelaskan pendirian mereka bersama pakatan.

Sebenarnya isu kerjasama Umno-PAS seolah tidak timbul di Perak kerana rakyat kini lebih yakin dengan pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat./wann _

KOMEN:
KALAU SEMUA ADUN UMNO PERAK MENYERTAI PAS, MAKA KUASA MELAYU AKAN
SEMAKIN KUKUH DI NEGERI PERAK.

UMNO PERAK TIADA PILIHAN, JIKA BENAR SAYANGKAN MELAYU DAN ISLAM,
SEMUA PERLU PAKAT MASUK PAS.

PAS tolak kerajaan campuran dengan Umno, BN

PAS menolak sebarang usaha untuk mengadakan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional untuk menubuhkan kerjaan campuran sama ada di peringkat pusat ataupun negeri.

Selain itu, PAS memutuskan bahawa ia akan terus mengambil pendirian terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak sama ada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, institusi atau individu demi kepentingan negara.


Malah, PAS mengulangi akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat dan terus aktif untuk membuat perubahan kerajaan dan mengajak ahli-ahli Umno untuk menyertai PAS ataupun Parti Keadilan Rakyat.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat PAS dan Majlis Syura yang berlangsung selama lima jam, bermula pukul 10 pagi tadi.

Wan Azizah lepas kerusi Permatang Pauh

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepas kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk membuka laluan kepada suaminya, yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil untuk kerusi tersebut.

Beliau bagaimanapun kekal sebagai presiden PKR.


Wan Azizah berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini.

Wednesday, July 30, 2008

Umno terlalu lemah, Pas semakin kukuh-Sanusi Junid

Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Sanusi Junid melihat bahawa Umno kini memerlukan PAS untuk mengukuhkan kembali parti itu, sebaliknya PAS tidak memerlukan Umno.

Bekas Menteri Besar Kedah itu juga berkata, kedudukan Umno yang cukup lemah menyebabkan parti itu memerlukan sokongan daripada parti yang kukuh seperti PAS.


“Kerjasama antara dua parti itu akan lebih menguntungkan Umno kerana yang memerlukan kerjasama adalah Umno, sebaliknya PAS tak perlukan kerjasama Umno.”

Beliau juga menyifatkan bahawa Pas mempunyai pilihan untuk membantu Umno atau tidak. Walaubagaimana pun beliau menyokong sebarang bentuk kerjasama untuk kepentingan agama dan bangsa tetapi berharap agar ianya tidak diolitikkannya kerana kerjasama bermotifkan politik bersifat sementara.

Katanya, jika kerjasama antara dua parti tersebut tidak ikhlas, konflik dalaman parti akan berlaku kerana wujudnya perasaan tidak puas hati antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, jika kita lihat sekarang, orang Umno sendiri tak percaya Pak Lah, macam mana PAS nak percaya,” katanya.

Kata-kata sinis ini jelas menunjukkan suatu peringatan agar Pas berhati-hati dalam membuat keputusan.

Kini rakyat dan kebanyakkan pemimpin Melayu menaruh harapan yang tinggi untuk Pas menjadi parti alternatif kepada bangsa Melayu yang semakin hilang kepercayaan pada Umno.

Tuesday, July 29, 2008

Selingan : Info Kereta

Sekiranya kita meletak kenderaan di tempat letak kereta awam atau berbayar yang kedudukan lot letak kenderaan 90 darjah dengan laluan kenderaan adalah lebih baik dengan cara mengundur “Reverse Parking”. Ini bermakna bahagian hadapan kereta akan mengadap jalan. Berikut adalah kebaikan “Reverse Parking” dipetik dari Paultan http://paultan.org/archives/2008/07/26/reverse-parking-into-a-parking-bay-is-better/ (kecuali perkara 2) :

1. Dengan kejadian jenayah yang semakin meningkat, adalah lebih mudah untuk keluar dari tempat letak kereta , sekiranya anda diancam keselamatan

2. Kenderaan yang diletak bahagian hadapan mengadap laluan kenderaan akan mudah dilihat oleh orang awam yang lalu lalang sekiranya pencuri kereta sedang mencuri kenderaan , memecahkan kunci stering “steering lock” , menghidupkan enjin kenderaan secara litar pintas “hot wire” dan apa-apa yang mencurigakan.

3. Meletak kenderaan secara mengundur akan menyebabkan bonet belakang kenderaan rapat ke dinding. Ini akan menyukarkan penjenayah untuk membuka bonet belakang.

4. Data menunjukkan ianya memerlukan masa 90 saat untuk purata kereta berusia 5 tahun untuk enjinnya panas sebelum mencapai tahap suhu efisien. Menurut kajian , mengundur dari tempat letak kereta ketika enjin sejuk akan menggunakan 20-25 kali lebih banyak minyak. Memandu ke hadapan lebih menjimatkan minyak kerana ratio gear yang lebih rendah ketika mengundur berbanding dengan gear satu.

5. Mengundur ke tempat letak kereta lebih selamat daripada mengundur ke laluan kenderaan. Memandu keluar ke hadapan adalah lebih selamat kerana kita dapat melihat kenderaan yang lalu dengan mudah.

Monday, July 28, 2008

Pertemuan Pas-Umno bela kebajikan rakyat

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
nazuri@bharian.com.my


SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak bersetuju dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat dikaji semula berikutan tindakan parti itu mengadakan rundingan dengan Umno.

Sambil menegaskan Pas tidak melakukan sebarang kesalahan, Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor itu mempertahankan tindakan Pas berbincang dengan Umno kerana ia bertujuan menjaga kebajikan rakyat.

Beliau berkata, walaupun Pas sudah membuat keputusan meneruskan pertemuan dan perbincangan, hubungan tiga parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR, DAP dan Pas tetap mantap.



"Pas tidak melakukan kesalahan. Kerjasama PKR, DAP dan Pas masih mantap. Walaupun pakatan mempunyai perbezaan pendapat, kita masih boleh bekerjasama untuk kebajikan rakyat," katanya selepas merasmikan Bengkel Pentadbiran Tanah dan Peluang Pembangunan di Selangor, di sini semalam.

Abdul Khalid menasihatkan wakil rakyat dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat terus bekerja seperti biasa kerana dakwaan yang mengatakan ia mula retak dan berpecah sekadar spekulasi.

Karpal kelmarin berkata, jaminan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada rakan dalam Pakatan Rakyat bahawa Pas tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai Barisan Nasional (BN) tidak ikhlas dan tidak disokong perkembangan kebelakangan ini.

Beliau juga membidas langkah Pas mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno atas nama perpaduan Melayu dan menyifatkan ia bersifat perkauman dan tidak sejajar dasar DAP dan Pakatan Rakyat.

Sunday, July 27, 2008

Muzakarah, Muqabalah dan Muktamar

Diharapkan semua pihak, daripada saf pimpinan, jentera parti dan ahli dapat membuat kajian dan pemahaman sebaiknya berkenaan isu muzakarah dan muqabalah, bukan sahaja dengan UMNO, bahkan juga dengan pihak-pihak lain.

Begitu juga halnya dengan isu mencadangkan umno dibubarkan, mengajak semua ahli umno masuk PAS atau menggabungkan parti.

Muktamar sudah cukup hampir, maka sewajarnya semua yang ditugaskan membuat persediaan secukupnya agar dapat membawa usul dan berbahas sebaiknya. PAStikan semuanya cukup berisi dan bermanfaat.

Semoga muktamar kali ini, yang diadakan di tempat agak standard, maka hasilnya juga sepatutnya lebih baik untuk masa depan parti, jamaah dan ummah.

Selamat membuat 'research', dan selamat bermuktamar.. ALlahuakbar.

Saturday, July 26, 2008

Kedah Akan Terus Guna Kereta Nasional




ALOR STAR, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah tidak bercadang untuk menukar kereta Proton Perdana V6 yang digunakan sebagai kereta rasmi di kalangan anggota exconya bagi menjimatkan perbelanjaan, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.


"Selagi kereta tersebut boleh digunakan ia akan terus digunakan. Polisi kerajaan negeri pimpinan PAS sekarang ialah tidak mahu membazir.

"Kita tidak akan mengikut langkah kerajaan Terengganu yang membeli Mercedes E200 Kompressor untuk digantikan dengan Proton Perdana," katanya.

Azizan berkata kerajaan Kedah tidak mempunyai wang untuk membeli kereta baru selain sudah menjadi polisi bahawa semua anggota exco perlu menggunakan kereta Proton.

"Depa (Terengganu) ada duit, boleh la beli, kita tak ada duit, kalau rosak kita baiki. Apabila dah tak boleh baiki baru kita tukar kereta baru," katanya.



Azizan diminta mengulas mengenai langkah kerajaan Terengganu membeli 14 buah Mercedes tersebut sebagai kenderaan rasmi anggota exconya dan pegawai kanan kerajaan negeri.

"Setakat ini kerajaan negeri baru sahaja menukar sebuah kereta exco juga dengan Proton Perdana V6, kerana kereta tersebut kerap rosak dan telah beberapa kali dibaiki," katanya.

Menurut Azizan, beliau sendiri masih menggunakan kereta Mercedes S300 yang dibeli oleh kerajaan negeri sebelum ini untuk membawa tetamu luar.

Kereta itu juga baru dibaiki dengan kos sebanyak RM7,000, katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri lima buah negeri yang diperintah Pakatan Rakyat pada 8 Ogos ini, Azizan berkata beliau akan menghadirinya sekiranya dikehendaki oleh PAS pusat.

Katanya beliau belum mengetahui agenda yang akan dibincangkan pada pertemuan itu.

Timbalan Menteir Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan telah mencadangkan supaya satu mesyuarat diadakan bagi membincangkan dakwaan bahawa Pakatan Rakyat akan berpecah di samping kesan tiga muzakarah yang telah diadakan antara PAS dan Umno.

-- BERNAMA

Wednesday, July 23, 2008

Tutup fail muzakarah, hanya ada sekadar muqabalah - Mursyidul Am


KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu muzakarah sudah tutup fail dan apa yang berlaku sekadar pertemuan biasa (muqabalah).

"Pada kenyataan yang lepas saya benarkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno berkaitan Islam dan masalah rakyat, serupa sahaja dengan kenyataan yang disebut Presiden PAS.

"Kalau difahami betul-betul tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kalau ada perjumpaan hendak masuk Barisan Nasional ia langsung tidak ada. Kenyataan Presiden pun memang begitu,"katanya pada persidangan media di sini, lewat petang ini.

Sebelum itu rombongan anggota Majlis Syura Ulama mengunjungi Menteri Besar Kelantan di JKR 10 di sini. Perbincangan terbabit diadakan hampir dua jam.

Turut kelihatan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din; Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud.

Ikut serta pertemuan tersebut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu perkataan muzakarah yang di'geger'kan sebelum ini ditukar kepada istilah muqabalah (perjumpaan biasa).

Menurutnya keputusan syura sebelum ini bersetuju diadakan pertemuan biasa dengan pemimpin Umno kerana syura sudah membuat keputusan sebulat suara.

Perkara itu diputuskan pada 23 April lalu manakala pertemuan dengan pemimpin Umno hanya diadakan pada 20 Julai lalu.

Ustaz Abdul Hadi pula berkata, apa yang sebenarnya berlaku bukan muzakarah sebaliknya muqabalah di antara PAS dengan Umno bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dialami umat Islam dan rakyat seluruh negara.

"Masalah yang dialami di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat kita minta kerajaan pusat menyelesaikan. Itu yang kita bincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin Umno.

"Tidak timbul masalah PAS menyertai kerajaan kerana PAS masih lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Kita akan terus dengan Pakatan sekarang memenuhi hikmah-hikmah politik yang kita perjuangkan,"katanya.

Bagaimanapun katanya dalam Pakatan Rakyat persefahaman kita tidak akan menjadi halangan, masing-masing memperjuangkan ideologi dan tetap berganding dalam isu-isu bersama.

Menurutnya sebagai orang Islam, PAS wajib menyuarakan kepada orang Islam lain dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan keadilan Islam kepada semua kaum yang ada di negara ini.

Kata beliau di atas prinsip itulah diputuskan Majlis Syura Ulama di mana Timbalan Presiden dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali bertemu dengan pemimpin Umno bagi menimbulkan isu-isu berkaitan.

Manakala Dr Haron berkata, Majlis Syura Ulama PAS menyedari masalah tersebut berlaku sebelum disedari wartawan, di mana perbincangan Majlis Syura mengenainya dibuat pada April lalu.

"Ketika itu tidak timbul isu muzakarah. Majlis Syura telah menangapi perlu diberi ruang untuk kita bermuqabalah dari face to face.

"Namun apa yang timbul sekarang perkataan muzakarah itu seolah perlawanan seperti yang berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini di antara Menteri Penerangan dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak mahu berlawan macam itu, kita nafikan ada muzakarah. Kalau dedahkan begitu akan menimbulkan masalah kerana akan ada yang kalah dan menang. Hanya apa yang ada sekadar pertemuan biasa," katanya.

Beliau menjelaskan mengapa hendak dilarang pertemuan biasa dan PAS bersetuju bekerjasama dalam semua perkara demi kebaikan semua rakyat di Malaysia.

Ditanya pertemuan lain bakal diadakan selepas ini, kata beliau itu mengikut keperluan.

"Bagaimanapun kita mahu lihat respon daripada Umno terhadap apa yang kita kemukakan terlebih dahulu," ujarnya.

Menurutnya juga usaha pertemuan itu sebenarnya dianjurkan pihak Umno.

Kata beliau, mereka yang mengusahakan dan bukti jelas dilihat kepada kenyataan ada tiga pertemuan sebelum ini dibuat sendiri Presiden Umno.

"Mereka yang membuat kenyataan dan merekalah yang mengusahakan pertemuan sebelum ini,"katanya. - mj/mks.

Monday, July 21, 2008

Lawatan ke Pasti As Syakirin Seksyen 15 , Bangi








21 Julai 2008
10.00 Malam
Pasti As Syakirin Seksyen 15
kehadiran terdiri dari Ust Farhan (ketua Cawangan Seksyen 3 tambahan), Wan Zailan (Pengurus Penaja Pasti Seksyen 3 Tambahan), Hj Amir Hamzah (Tuan Rumah- SU Pasti AS Syakirin) dan Hj Zakaria (Bendahari PASTI Serdang)

Sunday, July 20, 2008

KENYATAAN RASMI

PAS mengakui bertemu Perdana Menteri
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Sun | Jul 20, 08 | 11:57:32 pm MYT

PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menterti yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu.

Perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam,YB Hj Abd Khalid Samad.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia. - mr/mks.

20 Julai 2008,
Presiden,
Parti Islam Se Malaysia (PAS).

PERINGATAN BUAT SEMUA

Husam: PM mahu pecah belah PAS...
Jul 20, 08 9:00pm
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu menabur benih perpecahan dalam PAS apabila menyatakan beliau telahpun tiga kali bertemu pemimpin peringkat tertinggi PAS.

"Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah bila beliau umumkan pemimpin 'decision-makers' PAS telah tiga kali menemui beliau?

"Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek," katanya Husam dalam laporan yang disiarkan oleh Harakahdaily malam ini.

Abdullah hari ini mendedahkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin peringkat tertinggi PAS untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan dengan keagamaan.

Bagaimanapun, beliau yang juga presiden Umno dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, pertemuan tersebut tidak disertai Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Nik Aziz tak ada, itu saya boleh katalah, yang lain tak boleh tanya....(pertemuan) pada peringkat orang yang boleh membuat keputusan," katanya, yang menurut Bernama seakan memberi gambaran bahawa antara yang terlibat dalam muzakarah itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

‘Mahu kukuh kedudukan'

Mengulas mengenainya, Husam berkata Abdullah cuba memberi gambaran positif mengenai dakwaan pertemuan tersebut, "walaupun dia tahu mana-mana pertubuhan, apatah lagi parti Islam seperti PAS, tidak dimiliki oleh mana-mana pemimpin, sebesar mana pun pemimpin itu."

"PAS sebagai jamaah Islam dikendalikan dengan kaedah dan etika harakah Islamiyyah yang tertentu, termasuk musyawarah," tegas beliau.

Selain mahu memecahbelahkan PAS, Husam berkata, niat Abdullah ialah untuk mengukuhkan kedudukannya dalam Umno di tengah pergolakan dalaman yang tidak menentu, menghilangkan keyakinan dalam Pakatan Rakyat dan menjarakkan semula PAS dari sokongan bukan Melayu.

"Mungkin Abdullah mendapat inspirasi umpan 'Negara Islam' yang dilemparkan oleh Dr Mahathir selepas melihat kemaraan pembangkang dalam pilihanraya 1999 dan umpan itu menjadi sehingga pembangkang undur semula dalam pilihanraya 2004," katanya.

Husam menegaskan bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sudah tentu tidak akan mengkesampingkan perpaduan umat Islam dan tidak pula menjadikan perpaduan nasional agenda kedua selepas perpaduan Islam.

Perpaduan Islam, tegas beliau, dicapai dalam konteks perpaduan nasional yang semestinya diasaskan bukan di atas asas kaum semata-mata seperti dilakukan oleh Umno selama ini, tetapi di atas asas yang lebih kukuh seperti tiada diskriminasi kaum, tiada diskriminasi berdasarkan fahaman politik dan keadilan untuk semua.

Kepercayaan bukan Melayu

"Perpaduan versi Umno sudah lusuh. Umno sesama Umno pun tidak dapat disatukan. Apatah lagi formula itu hendak digunakan bagi ummat Islam dan nasional," tegas beliau.

Sehubungan itu, Husam mengingatkan bahawa utama pemimpin PAS pada waktu ini ialah memastikan parti tidak berpecah, bahkan kekal bersatu.

"PASlah satu-satunya parti yang paling stabil, kukuh dan mantap buat masa ini. Jika jangkitan kuman Umno meresap dan memecahkan PAS, perkongsian kuasa dengan Umno hanyalah ulangan percantuman sementara era Barisan Nasional dulu yang berakhir PAS ditolak ke tepi selepas Umno mencapai kekuatan mereka semula," katanya.

PAS juga, katanya, hendaklah memastikan kepercayaan dan harapan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak dikhianati.

"Islam menekankan kepada kesetian terhadap janji," tegas Husam.

Komen Nik Aziz

Sementara itu, Nik Aziz pula, ketika mengulas perkara itu, mengingatkan pemimpin kanan parti, yang membuat pertemuan dengan pemimpin Umno,bahawa mereka hanya boleh mengadakan pertemuan melibatkan perbincangan peribadi dan bukannya melibatkan isu politik kedua-dua parti.

Namun, Bernama melaporkan menteri besar Kelantan itu menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan pemimpin Umno untuk membincangkan isu agama atas kapasiti peribadi tetapi tidak atas nama parti.

Nik Abdul Aziz menyatakan pendiriannya bahawa beliau hanya boleh menerima jika pemimpin PAS bertemu dengan pemimpin Umno atas urusan peribadi seperti menyentuh isu agama yang memberi manfaat dalam membaiki sahsiah diri.

Beliau menolak sebarang tindakan bagi pihak pemimpin PAS untuk mengadakan pertemuan dengan Umno bagi membincangkan isu parti.

"Kalau nak jumpa jangan jumpa dengan parti. Bagi saya untuk mengadakan pertemuan antara individu dan individu, saya setuju," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata beliau sendiri tidak tahu mengenai pertemuan tiga kali itu, namun beliau pernah dimaklumkan sememangnya pernah wujud pertemuan antara Umno dan PAS tetapi lebih kepada isu agama dan peribadi.

Bukan atas nama parti

Beliau berkata pertemuan antara parti dengan parti atau antara Umno dan PAS tidak perlu diadakan kerana sudah terbukti dengan perjanjian yang dibuat pada tahun 70-an, ketika era Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, PAS telah ditendang daripada parti gabungan.

"Jadi bagi saya untuk mengadakan pertemuan antara individu dengan individu saya setuju, dapat menyampaikan Islam secara langsung kepada individu terbabit," katanya.

Mengenai muzakarah yang disarankan beliau, Nik Aziz berkata perlu ada orang ketiga sebagai Hakkam yang mengadilkan pertemuan itu sebagaimana perbincangan antara dua negara berjiran perlukan kepada negara ketiga.

"Kalau di peringkat dunia berbalah dan perbincangan yang hendak diadakan perlu pihak ketiga, PPB (Pertubuhan Bangsa-Bersatu)lah yang terbaik," katanya.

Beliau tidak berminat untuk mengadakan pertemuan dengan nama parti dan sedia menerima pemimpin Umno yang mahu berbincang mengenai isu agama untuk kebaikan semua.

Tuesday, July 15, 2008

Bil Air


Buat pertama kalinya rakyat selangor menerima air percuma 20 meter padu setiap bulan.