Saturday, July 26, 2008

Kedah Akan Terus Guna Kereta Nasional




ALOR STAR, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah tidak bercadang untuk menukar kereta Proton Perdana V6 yang digunakan sebagai kereta rasmi di kalangan anggota exconya bagi menjimatkan perbelanjaan, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.


"Selagi kereta tersebut boleh digunakan ia akan terus digunakan. Polisi kerajaan negeri pimpinan PAS sekarang ialah tidak mahu membazir.

"Kita tidak akan mengikut langkah kerajaan Terengganu yang membeli Mercedes E200 Kompressor untuk digantikan dengan Proton Perdana," katanya.

Azizan berkata kerajaan Kedah tidak mempunyai wang untuk membeli kereta baru selain sudah menjadi polisi bahawa semua anggota exco perlu menggunakan kereta Proton.

"Depa (Terengganu) ada duit, boleh la beli, kita tak ada duit, kalau rosak kita baiki. Apabila dah tak boleh baiki baru kita tukar kereta baru," katanya.



Azizan diminta mengulas mengenai langkah kerajaan Terengganu membeli 14 buah Mercedes tersebut sebagai kenderaan rasmi anggota exconya dan pegawai kanan kerajaan negeri.

"Setakat ini kerajaan negeri baru sahaja menukar sebuah kereta exco juga dengan Proton Perdana V6, kerana kereta tersebut kerap rosak dan telah beberapa kali dibaiki," katanya.

Menurut Azizan, beliau sendiri masih menggunakan kereta Mercedes S300 yang dibeli oleh kerajaan negeri sebelum ini untuk membawa tetamu luar.

Kereta itu juga baru dibaiki dengan kos sebanyak RM7,000, katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri lima buah negeri yang diperintah Pakatan Rakyat pada 8 Ogos ini, Azizan berkata beliau akan menghadirinya sekiranya dikehendaki oleh PAS pusat.

Katanya beliau belum mengetahui agenda yang akan dibincangkan pada pertemuan itu.

Timbalan Menteir Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan telah mencadangkan supaya satu mesyuarat diadakan bagi membincangkan dakwaan bahawa Pakatan Rakyat akan berpecah di samping kesan tiga muzakarah yang telah diadakan antara PAS dan Umno.

-- BERNAMA

No comments: