Monday, February 18, 2008

PAS & BA

Beri peluang PAS dan BA laksanakan perubahan
Haji Mahfuz Omar Sun Feb 10, 08 4:15:56 pm MYT

Saya tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lalu yang mengugut rakyat supaya tidak memperjudikan diri dan masa depan negara dengan mengundi pembangkang.

Saya sebenarnya tidak begitu faham dengan analogi Pak Lah yang cuba mengaitkan perubahan sikap rakyat dengan perjudian masa depan. Adakah Pak Lah berfikir bahawa rakyat negara ini terlalu bodoh sehingga semudah itu diperalatkan oleh sesiapa sahaja termasuk sanggup menggadai masa depan negara.

Ironinya, pengalaman 50 tahun berada di bawah Kerajaan BN adalah satu perjudian yang besar dan rakyat telah 'kalah judi'! Kita semua tahu bahawa rakyat dan negara ini sudah hampir bankrap dari segi politik, ekonomi dan sosial kerana perjudian mereka bersama BN. Tiba-tiba Pak Lah cuba mengugut rakyat supaya masa depan mereka tidak diperjudikan kerana bimbang ditipu oleh pembangkang.

Setakat ini tidak ada rekod pembangkang menipu rakyat, sebaliknya rekod Pak Lah sebagai penipu besar diteliti oleh rakyat setiap hari. Lihatlah bagaimana rakyat tertipu oleh slogan 'pendidikan percuma sepenuhnya' yang dilaungkan oleh Pak Lah dalam Bajet 2008. Tiba-tiba ibu bapa terpaksa membayar ratusan ringgit untuk persekolahan anak-anak mereka.

Bagi saya, kenyataan politik seperti ini amat tidak beretika dan dibuat semata-mata untuk mengaburi mata rakyat. Mengapa kita membuat spekulasi terhadap perkara yang tidak pasti sedangkan pembangkang belum diuji ketelusan dan kebolehan mereka melaksanakan janji.
Seolah-olah Pak Lah cuba mengatakan seseorang itu mandul terlebih awal sedangkan orang tersebut masih belum berkahwin. Jika rakyat mahu tahu hakikat sebenar atau kebolehan sebenar pembangkang sebagai 'kerajaan menunggu', mereka harus memberi peluang kepada PAS/BA untuk memerintah negara ini.

Pemimpin BN tidak perlu menakut-nakutkan rakyat supaya jangan berubah. Bangsa yang maju fikirannya ialah bangsa yang bersedia untuk berubah kepada yang lebih baik. BN sedar bahawa mereka gagal mentadbir negara dengan baik dan berkesan. Di bawah regim mereka, rakyat ditindas, penyelewengan melata di mana-mana, rakyat hidup melarat tetapi pemimpin hidup mewah, keadilan terjejas dengan teruk dan rakyat hidup dalam ketakutan.
Tiba-tiba mereka menggunakan cara yang tidak senonoh iaitu mengugut rakyat bahawa masa depan negara akan lebih teruk di bawah pembangkang.

Bagi rakyat yang sudah lama tertindas dan dianiayai, mereka tidak perlu berfikir tentang keadaan masa depan yang kononnya lebih buruk di bawah pembangkang, tetapi harus berfikir bagaimana untuk menamatkan kezaliman yang sedia ada.

Rakyat sudah cukup menderita dengan kenaikan harga minyak mentah, tepung, tol dan tambang bas. Nanti harga petrol pula akan menyusul. Rawatan swasta di hospital kerajaan sudah diperkenalkan. Barang-barang makanan seperti roti dan kuih muih sudah mengalami kenaikan harga. Tetapi kerajaan BN masih tidak dapat mencari jalan mengurangkan beban hidup rakyat.

Dalam politik, negara ini benar-benar diperintah oleh segolongan elit BN dengan dipengaruhi oleh kroni-kroni mereka. Apa-apa dasar negara ditentukan berasaskan kepentingan mereka. Kerajaan BN mewujudkan WPI untuk kepentingan Singapura, membazirkan RM4.458 bilion (kos asal RM8 bilion meningkat kepada RM12.485 bilion selepas penangguhan) untuk menyiapkan landasan berkembar dari Ipoh ke Padang Besar, juga kerana kepentingan Singapura dalam menghubungkan republik itu dengan China.

Manakala pegawai tinggi polis dan hakim tidak lagi dilantik secara bebas oleh Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya oleh sekumpulan gangster. Bahkan, pegawai-pegawai yang bermasalah dengan kroni pemimpin BN akan dihadap ke mahkamah, manakala penjenayah yang bersekutu dengan pemimpin BN terlepas begitu sahaja.

Perlaksanaan demokrasi sudah tidak demokratik lagi. Sistem pilihan raya kita sekadar mengesahkan proses demokrasi sahaja apabila hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan dinafikan. Indeks kebebasan media begitu dahsyat seteruk indeks rasuah. ISA dan akta draconian lain terus disalahgunakan untuk menutup mulut rakyat.

Lebih teruk lagi, pengundi-pengundi pos menjadi alat untuk mengekalkan kuasa politik BN. Pengerusi SPR sendiri bercakap bagi pihak regim, bukannya seorang yang berkecuali. Ini belum dikira soal kuasa politik orang Melayu yang semakin terjejas dan juga kegagalan pemimpin Umno melaksanakan keadilan dan undang-undang yang berteraskan al-Quran dan Sunnah. Masakan rakyat hidup terjamin apabila pemimpin BN bercakaran sesama sendiri untuk merebut kepentingan peribadi.

Kehilangan adik Sharlinie beberapa bulan selepas adik Nurin Jazlin sudah cukup untuk menggambarkan betapa parahnya keadaan sosial kita. Usah bercakap lagi soal bohsia, bohjan, dadah, rempit, mabuk, jenayah, zina dan lain-lain. Setiap hari kita mendengar masalah ragut, bunuh, rogol hinggalah penculikan kanak-kanak. Kita seperti hidup pada zaman batu yang tidak mempunyai peraturan sosial.

Apa tidaknya apabila menteri sendiri ‘berlakon’ untuk CD lucah, pemimpin tertinggi BN satu demi satu dikaitkan dengan skandal seks, pecah amanah, rasuah dan sebagainya. Dah bapa borek, sudah tentu anaknya rintik! Timbalan Perdana Menteri kononnya menyeru pemimpin BN supaya menjaga tingkah laku, walhal beliau sendiri beberapa kali dikaitkan dengan skandal.
Kerajaan BN juga secara mudah menyalahkan para siswazah apabila mereka merungut kerana ketiadaan pekerjaan. Yang diungkitkan adalah kegagalan siswazah membina kompetensi diri sehingga mereka tidak laku di pasaran kerja. Sedangkan, Kerajaan BN gagal menyediakan persekitaran ekonomi yang kondusif yang menggalakan pertumbuhan. Bagaimana mahu bekerja jika tidak ada majikan untuk mengambil pekerja. Pelabur asing kurang berminat apabila Malaysia tersohor dek indeks rasuahnya.

Usahawan-usahawan baru begitu sukar untuk meneroka peluang-peluang perniagaan kerana ‘duit kopi’ yang terlalu besar dan permainan kroni yang terlalu licik. Kita kadang-kadang berasa hairan apabila anak menantu Perdana Menteri dan adik timbalannya begitu cepat melonjak naik, sedang siswazah lain terus terbungkam kerana ‘tidak kompeten’.

Bukankah di negara kita terdapat lebih 2.5 juta pekerja asing, tidak termasuk pendatang haram. Mereka menguasai pasaran buruh dengan kos yang rendah, sedangkan rakyat sebagai pekerja mahir tidak mendapat tempat. Universiti kini sudah mencecah 50 buah, tetapi peluang pekerjaan untuk graduan masih tidak bertambah. Jika siswazah tidak kompeten, apa tugas Kementerian Pengajian Tinggi untuk meningkatkan kebolehupayaan rakyat dalam menjana ekonomi. Rakyat sebetulnya sudah meluat dengan dasar-dasar aneh Kerajaan BN yang mengutamakan kroni dan keluarga, mengamalkan rasuah dan kolusi.

Jika kita meneliti secara ringkas gambaran susana politik, ekonomi dan sosial negara yang saya cerakinkan itu, nampaklah kita bahawa soal menggadai masa depan tidak timbul lagi. Keadaan sudah cukup kelam kabut sekarang. Dalam kata lain sudah 50 tahun rakyat kalah judi! Rakyat harus berfikir untuk menebuskan balik kekalahan judi di tangan BN ini dengan memberi peluang kepada pembangkang pula untuk mengotakan janji dan manifesto mereka.

PAS/BA berjanji untuk mengurangkan harga petrol sekurang-kurangnya 30 sen bagi satu liter, sedangkan kerajaan BN seperti yang dinyatakan oleh Pusat Kajian Ekonomi (MEIR) bahawa harga minyak akan dinaikkan sekurang-kurangnya 30 sen bagi satu liter.

Selain itu, PAS/BA berjanji menyediakan pendidikan percuma daripada sekolah rendah sehingga ke ijazah pertama dengan memberikan biasiswa dan menghapuskan yuran universiti. Dan bagi 220,000 graduan yang masih berhutang dengan PTPTN, PAS/BA berjanji hutang mereka akan dihapuskan. Rakyat perlu mengambil kesempatan ini sebelum kita terus menderita oleh kegagalan pengurusan dan pentadbiran BN.

Pembangkang tidak pernah berpeluang untuk menunjukkan kebolehan mereka memerintah dan rakyat tidak perlu takut untuk berubah. Pemimpin BN yang ada diketahui umum tidak beretika dan menggunakan pendekatan tidak beretika untuk menakut-nakutkan rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir juga sudah berpesan kepada rakyat supaya menolak pemimpin-pemimpin yang tidak berertika dalam pilihan raya ini. Jika rakyat berubah, mereka akan mendapat apa yang sekarang sedang dinikmati oleh rakyat Kelantan.

Dasar-dasar yang prorakyat oleh PAS di Kelantan ditiru satu demi satu oleh Kerajaan BN. Daripada rumah tiga bilik, cuti Sabtu dan Ahad hinggalah takaful kifalah dan armalah semuanya cuba dicedok oleh BN yang menunjukkan rakyat lebih terjamin di bawah PAS. Maka tidak terjejas masa depan rakyat dengan membuat perubahan.

Perubahan ke arah keadilan, kemakmuran dan kemajuan!

No comments: