Friday, June 13, 2008

Perarakan aman bantah isu minyak



laporan dari malaysiakini
Abdul Rahim Sabri | Jun 13, 08 6:57pm


Perarakan membantah kenaikan harga minyak bermula sebaik sahaja selesai solat Jumaat di masjid Kampung Baru dengan teriakan "Turun-turun, turun minyak", "Turun-turun, turun BN", "Turun-turun, turun Pak Lah" dan "Rakyat-rakyat, rakyat bangkit".

Kemudian kumpulan lebih 1,000 penyokong pembangkang bergerak menuju ke pintu keluar masjid menuju ke simpang empat Jalan Raja Abdullah-Jalan Raja Alang.

Sekumpulan 20 anggota polis berada di sepanjang jalan di situ, hanya memerhati orang ramai bergerak keluar dari kawasan masjid.

Bagaimanapun, setibanya di simpang tersebut, kira-kira 30 orang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah membentuk benteng halangan bagi menyekat orang ramai masuk ke Jalan Raja Abdullah untuk ke Jalan Sultan Ismail dan seterusnya menuju ke KLCC.

Ketika itu bilangan mereka menyertai perarakan tersebut telah mencecah kira-kira 2,000. Mengetuai perarakan tersebut ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Bagi mengelak bertembung dengan anggota FRU di situ, mereka meneruskan perarakan melalui Jalan Raja Alang, menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di kawasan Chow Kit.

Kira-kira 20 anggota polis turut mengikuti mereka bagi memantau keadaan. Manakala di Chow Kit pula kelihatan kira-kira 10 anggota polis ditempatkan di situ.

No comments: