Friday, January 8, 2010

Dewan Himpunan Penyokong PAS

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, Pas pusat telah meluluskan perlembagaan khusus bagi sayap baru itu selepas mengadakan perbincangan beberapa kali.

Namun pengiktirafan itu dilihat sebagai terhad kerana kuasa untuk menjadi perwakilan di peringkat pusat dan negeri hanya sekadar menjadi ‘pemerhati rasmi’.

“Sayap baru ini akan mempunyai perlembagaan tersendiri tanpa melibatkan pindaan pada perlembagaan induk Pas dan sebagai langkah awal untuk mengiktiraf penyokong bukan Islam dalam Pas.

“Pas akan memberi perakuan akhir Ahad ini untuk menaikkan taraf Kelab Penyokong Pas menjadi Dewan Perhimpunan Penyokong Pas. Selepas ia diperakui, kita akan memperkemaskan keahlian di peringkat cawangan dan negeri,”

Draf perlembagaan Dewan Himpunan Penyokong Pas telah tiga kali dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pusat Pas dan diterima untuk diguna pakai.

Kelab Penyokong Pas ditubuhkan pada 2004 dan mewakili lebih 20,000 ahli dalam kalangan kaum India, Cina, Siam dan Iban.

Dewan itu akan diwujudkan dengan seorang ketua, dibantu oleh timbalan ketua, lima naib ketua, setiausaha, penolong setiausaha, bendahari dan 18 anggota jawatankuasa. Ia juga akan mempunyai biro pemuda dan wanita.

Pengerusi Kelab Penyokong Pas Kebangsaan, Hu Pang Chaw, menyambut baik langkah penubuhan itu dan menerima hakikat status ‘pemerhati rasmi’ kerana beranggapan kesetiaan ahli perlu diuji terlebih dahulu.

“Kami menyambut baik usaha ini. Sejak dahulu Pas dikenali sebagai parti Melayu dan Islam. Kini, perjuangannya disokong oleh bukan Islam atas fahaman prinsip Pas harmoni dan serantau. Saya tidak setuju jika di peringkat awal sayap baru ini diberikan hak seperti dewan lain kerana kita perlu ambil kira perasaan penyokong lain Pas.

“Kekuatannya juga belum diuji. Kita kena lihat sejauh mana keikhlasan ahli sayap sanggup berjuang bersama Pas,” katanya.


-petikan berita sinar harian-

No comments: