Isnin 10 Mac 2008 2 Rabi'ul Awal 1429 Hijrah
BN Terengganu terselamat dengan bantuan pengundi hantu
Awang Harun Mon Mar 10, 08 4:54:23 pm MYT
MARANG, 10 Mac (Hrkh)- Nasib Barisan Nasional Terengganu lebih baik kerana tidak seburuk rakan-rakannya di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang mengakibatkan berlaku pertukaran kerajaan negeri.
Sebelum ini, Terengganu dan Kelantan menjadi tumpuan utama BN dan strategi membawa masuk pengundi 'luar' (hantu) kedua-dua negeri itu dilakukan sejak PRU Ke-11 lagi. Namun begitu, senario kali ini tidak semudah disangkakan apabila berlaku kebangkitan rakyat serta gelombang inginkan perubahan.
Pada 8 Mac 2008 lalu, berlaku satu insiden di Kampung Rusila, Marang apabila penduduk setempat bertindak sendirian menahan dua buah bas yang disyaki membawa para pengundi luar, kira-kira jam 10.00 pagi tersebut.
Kedua-dua penumpang bas berkenaan ditahan serta diambil kad pengenalan masing-masing bagi tujuan semakan daftar pemilih di Peti Undi Rusila, Marang. Dimaklumkan, pengesahan dibuat membuktikan penumpang kedua-dua buah bas tersebut merupakan pelatih jururawat berasal dari Selangor, Perak dan Sabah.
Mereka dikatakan telah didaftarkan sebagai pengundi di Peti Undi Rusila bagi menjatuhkan Presiden PAS dalam pilihan raya kali ini. Polis yang menerima maklumat berhubung kes tersebut bergegas ke tempat kejadian serta meminta penduduk terbabit menyerahkan kembali sejumlah 58 keping kad pengenalan yang diambil itu.
Sehubungan itu, anak kepada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang iaitu Muhamad Khalil telah tampil bagi membantu pihak polis mendapatkan kembali kad-kad pengenalan tersebut.
Sebaliknya, pihak polis bertindak agresif dengan menahan Muhamad Khalil di bawah Seksyen 25(1) (a) Peraturan Pendaftaran Negara kerana didakwa kononnya menyimpan kad pengenalan orang lain tanpa mempunyai kuasa sah mengikut undang-undang.
Insiden spontan itu, telah membangkitkan kemarahan anak-anak muda dan penduduk setempat bertindak menghalang serta 'bertempur' dengan pihak polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Dalam kejadian tersebut anggota FRU sekali lagi bertindak agresif dengan melepaskan lebih 20 butir bom asap (pemedih mata) bagi menyurai kumpulan orang ramai itu. Ekoran insiden tersebut, Muhamad Khalil yang ditahan serta berada di dalam kenderaan pancuan empat roda polis tercedera di kepala akibat terkena serpihan kaca dan batu.
Kejadian tersebut mengakibatkan anak Presiden PAS itu terpaksa menerima rawatan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Rusuhan berlaku seketika akibat tindak balas penduduk setempat mempertahankan diri dari tindakan agresif polis dan anggota FRU terhadap orang awam di tempat kejadian.
Lebih 1000 orang awam terdiri dari kalangan penduduk setempat yang keluar mengundi bertindak mempertahankan diri dari keganasan pihak pasukan keselamatan. Ketua Polis Terengganu, Dato' Ayob Yaakob berkata kes tersebut masih dalam siasatan polis dan setakat ini seramai 24 orang ditahan termasuk Muhamad Khalil.
Katanya, polis menahan 24 individu berusia 15 hingga 60 tahun di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, Seksyen 143 kerana berhimpun secara haram, Seksyen 36 (1) (n) Akta Pilihan Raya dan Seksyen 25(1)(a) Peraturan Pendaftaran Negara.
Presiden PAS, sekali lagi mempertahankan tindakan Muhamad Khalil bersama penduduk setempat menghalang serta menyekat pengundi luar pada insiden 8 Mac 2008 lalu.
Katanya, Khalil dan penduduk kampung Rusila bertindak cemerlang dalam usaha memulihkan demokrasi di negara ini.
"Dia (Khalil) dan penduduk kampung ini (Rusila) ditahan polis dan tercedera kerana terkena batu ketika berada dalam kenderaan polis dan saya berbangga dengan dia. "Biarlah, dia (anak) kena tahan kerana berjuang menuntut keadilan dalam demokrasi yang semakin tercemar," ujarnya ketika ditemui di rumahnya, Sabtu lalu.
Katanya, Muhamad Khalil bersama penduduk berjaya menahan dua buah bas yang disahkan pengundi berasal dari Selangor, Perak dan Sabah. Kejadian tersebut telah berjaya menyelamatkan kerusi PAS Rhu Rendang serta berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Marang dari tangan Barisan Nasional.
Keputusan pilihan raya menunjukkan Dato' Seri Abdul Hadi Awang berjaya mempertahankan kerusi Rhu Rendang menewaskan calon BN, Razali Idris dengan majoriti 2,686 undi. Manakala, bagi kerusi Parlimen Marang pula berjaya dirampas kembali menewaskan calon BN, Dato' Dr Ahmad Ramzi Zubir dengan majoriti 2,747 undi.
Tinjauan Harakah pada hari pengundi berlaku mana-mana tempat yang 'panas' serta berjaya menahan pengundi luar masuk ke tempat mengundi didapati akan dimenangi oleh calon PAS dalam Pilihan Raya ke-12 ini. - mr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment