Monday, March 17, 2008

DARUL RIDZUAN

Perak batal saman letak kereta



"BEBERAPA jam selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengumumkan pemansuhan bayaran saman dan notis kompaun membabitkan penjaja dan parking kereta yang diterima semua rakyat negeri itu sehingga tarikh hari ini.

Mohammad Nizar berkata pembatalan notis saman dan denda itu sebagai penghargaan kepada rakyat yang telah memberi mandat kepada Barisan Alternatif pada Pilihan Raya Umum lalu hingga membolehkan pakatan itu membentuk kerajaan campuran di Perak.


"Tawaran ini meliputi semua saman yang dikeluarkan majlis daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan penjaja dan letak kereta sehingga hari ini sahaja sebagai penghargaan pertama kepada rakyat Perak," katanya pada sidang akhbar selepas istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah di sini, sebagaimana dilaporkan Buletin Utama, TV3 malam ini.

Sementara itu Bernama melaporkan tawaran-tawaran lain yang terkandung dalam manifesto pilihan raya lalu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Antara lain tawaran kepada rakyat Perak yang dilancarkan semasa kempen pilihan raya umum 8 Mac lepas ialah penurunan tarif air bagi kegunaan domestik sebanyak 10 peratus, memberikan geran kekal bagi taraf kediaman Kampung Tersusun dan Kampung Baru Cina, mewujudkan tabung kebajikan Perak bertujuan bantuan mala petaka dan sakit kronik, memperkenalkan konsep cukai pintu pada kadar istimewa bagi lokaliti tertentu mengikut taraf sosio ekonomi serta mewujudkan Ladang Rakyat yang diuruskan oleh kerajaan negeri bagi faedah rakyat miskin.

No comments: