Monday, March 10, 2008

Gelombang Kebangkitan Rakyat

Tiga negeri dapat MB, KM baru

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Pas Kedah, Azizan Abdul Razak, semalam mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, sehari selepas parti itu menawan Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-12, kelmarin. Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pula masing-masing dipilih sebagai Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru. Kelantan pula mengekalkan kedudukan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar untuk penggal keempat berturut-turut.

Bagaimanapun, Perak yang turut ditawan parti pembangkang belum memutuskan calon yang akan dilantik sebagai Menteri Besar. Pas, DAP dan PKR yang bakal menubuhkan kerajaan campuran di Perak, sebelum ini dikatakan mencapai persetujuan untuk mencalonkan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar. Mohammad Nizar yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang, mengesahkannya kepada Bernama semalam, tetapi Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, yang ditemui pemberita di Ipoh menafikan laporan itu kerana ia belum diputuskan Majlis Tertinggi DAP.

Pada pilihan raya kelmarin, DAP menang 18 kerusi DUN di Perak, Pas (enam) dan PKR (tujuh) untuk mengumpul 31 kerusi, iaitu lebih tiga kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) yang hanya memenangi 28 kerusi DUN. Pada Pilihan Raya Umum 2004, BN menguasai 52 daripada 59 kerusi DUN di Perak dengan DAP menang tujuh kerusi. Di ALOR STAR, Azizan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru di hadapan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Wisma Darulaman, kira-kira jam 3 petang semalam. Pas memenangi 16 daripada 36 kerusi DUN di Kedah, PKR (empat) dan masing-masing satu oleh DAP dan Bebas, manakala BN 14 kerusi DUN.

Pada sidang media selepas majlis mengangkat sumpah itu, Azizan berkata, rundingan sedang diadakan bagi membolehkan calon Bebas yang memenangi kerusi DUN Bukit Selambau, V Arumugam, menyertai PKR. Pas memerlukan Arumugam dan wakil DAP bagi DUN Kota Darulaman, Lee Guan Aik, bagi membentuk barisan Exco yang mewakili semua kaum.

Di GEORGETOWN, Lim yang menang kerusi Parlimen Bagan dan DUN Air Putih, akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru esok. DAP yang memenangi 19 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang, mengadakan pakatan dengan PKR bagi membolehkannya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti melebihi dua pertiga. PKR memenangi sembilan daripada 16 DUN yang ditandingi, manakala Pas mengekalkan kerusi Permatang Pasir, dan kalah di empat lagi kerusi DUN.

Di PETALING JAYA, PKR, DAP serta Pas bersetuju menubuhkan kerajaan campuran di Selangor dan memilih Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar yang baru. Pada sidang akhbarnya, Khalid yang memenangi kerusi DUN Ijok dan Parlimen Bandar Tun Razak, berkata beliau akan menghadap Sultan Selangor pada jam 2 petang ini serta bertemu Setiausaha Kerajaan Negeri bagi urusan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Di KOTA BAHRU, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat sebulat suara bersetuju dengan pelantikan Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan. Difahamkan Nik Abdul Aziz menghadap Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra malam tadi bagi mendapat perkenan baginda. Pada pilihan raya umum kelmarin, PAS terus menguasai Kelantan buat penggal keempat berturut-turut setelah parti itu bersama PKR memenangi 39 daripada 45 kerusi DUN.

Pas membuat kebangkitan mengejutkan dengan pencapaian jauh lebih baik berbanding pilihan raya umum lalu apabila memperoleh 38 daripada 40 kerusi yang ditandinginya, manakala PKR satu daripada lima kerusi yang ditandingi. BN hanya memenangi enam kerusi DUN.

Di KOTA KINABALU, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah, di Istana Negeri pada jam 3 petang, semalam. Majlis turut disaksikan semua calon BN Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan ketua parti komponen BN negeri. BN memenangi 59 daripada 60 kerusi DUN di Sabah, manakala DAP satu kerusi.

Pada sidang media di kediaman rasminya di Sri Gaya selepas majlis itu, Musa berkata Kabinet negeri akan diumumkan selepas mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, dalam tempoh terdekat. Di MELAKA, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakub di Istana Negeri pada jam 10 pagi, Rabu ini. BN Melaka membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga selepas memenangi 23 daripada 28 kerusi DUN, manakala lima lagi dimenangi DAP.

No comments: