Sunday, March 30, 2008

Kata Mahathir

BN tidak mampu tawan semula lima negeri - Dr M

PULAU PINANG - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah mustahil Barisan Nasional (BN) dapat merampas semula lima negeri yang telah terlepas ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, mereka yang telah mengundi pembangkang tidak tertarik lagi pada BN dan tidak akan kembali kepada parti itu.

“Sekiranya parti pembangkang yang memerintah lima negeri sekarang berjaya mentadbir kerajaan dengan baik, orang Melayu sendiri pun akan berpaling tadah dan tidak menyokong BN,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Melayu Tanjong di sini, semalam.

Katanya, pada pilihan raya umum lalu ahli UMNO sendiri pun ada yang memangkah calon pembangkang bukan sebab mereka cintakan pembangkang, tetapi sebab mereka masih ‘sayang’ pada UMNO.

“Mereka (mengundi pembangkang) kerana ingin menyampaikan mesej kepada pemimpin UMNO, tetapi pemimpin parti itu masih menafikan kekalahan dan tidak berasa besalah,” katanya.

Dr Mahathir kesal di atas sikap para pemimpin yang telah membawa kehancuran teruk bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga kepada MCA, MIC, Gerakan dan BN secara keseluruhan.

Dalam ucapan tersebut beliau juga mengulangi seruan kepada ahli UMNO supaya berani bersuara dan mengurangkan sikap ‘yes man’ kepada kepimpinan parti.

“Masa depan UMNO berada di tangan anda, sekiranya anda takut untuk bersuara, tidak ada masa depan untuk Umno jika yang dipilih adalah hanya yang ditunjuk oleh kepimpinan parti,” katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan, pada sidang akhbar selepas majlis itu, Dr Mahathir berkata, sistem kuota pencalonan bagi melayakkan seseorang bertanding jawatan tertinggi UMNO yang dikekalkan semasa beliau menjadi Presiden UMNO adalah untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja boleh bertanding dan bukan bagi kepentingan peribadi.

Di bawah sistem kuota itu, perlembagaan UMNO mensyaratkan seseorang calon perlu memperoleh pencalonan sekurang-kurangnya daripada 60 bahagian bagi membolehkan beliau bertanding jawatan presiden.

Sistem itu diperkenalkan selepas Dr Mahathir sendiri dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987, dan mengekalkan jawatan presiden itu dengan kelebihan hanya 43 undi.

Sejak itu, amalan tidak mencabar jawatan tertinggi parti menjadi tradisi. Dr Mahathir berkata: “Apa ada kepentingan­ saya. Saya menang bukan banyak tu aje. Saya menang tanpa bertanding banyak kali.

“Kita buat semua itu sebab kalau tidak, akan jadi macam (Allahyarham) Sulaiman Palestin. Dia bukan ada sokongan sangat tapi bertanding,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pada masa beliau memimpin UMNO untuk mendapatkan 60 pencalonan daripada bahagian tidak menjadi masalah.

Ini terbukti semasa Anwar mencabar jawatan Timbalan Presiden parti daripada Tun Ghafar Baba, katanya di mana “Dia (Anwar) dapat bukan main banyak. Lebih 30 peratus pencalonan­, tetapi dia dapat banyak (pencalonan) kerana pada masa saya tidak ada kawalan.”

Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam akhbar semalam bahawa beliau sebagai seorang Ahli Jawatankuasa Perlembagaan parti telah mengemukakan kepada Dr Mahathir cadangan anggota parti akar umbi untuk menarik balik kuota 30 peratus.

Bagaimanapun Dr Mahathir memintanya membiarkan sahaja dan ini kata Muhyiddin kebanyakannya disebabkan pada hakikatnya Dr Mahathir ialah presiden UMNO pada ketika itu dan peraturan ini akan melemahkan sebarang cabaran kepada presiden.

Dr Mahathir menjelaskan, langkah UMNO berkenaan meneruskan sistem tersebut pada ketika itu adalah bagi memastikan pemilihan parti dilaksanakan secara serius.

No comments: