Saturday, March 29, 2008

Exco Perak

10 Exco Perak angkat sumpah jawatan, Terengganu negeri terakhir bentuk kerajaan
Posted on Saturday, March 29 @ 14:46:46



"
SEMUA lima negeri yang dimenangi Barisan Altenatif pada pilihan raya umum 8 Mac lalu secara rasminya selesai membentuk kerajaan negeri masing-masing apabila 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan itu di Perak selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pagi tadi.

Majlis angkat sumpah di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah itu hadir selepas tiga minggu kemenangan luar dugaan pakatan BA pada pilihan raya umum lepas dengan pelbagai spekulasi desas desus ditimbulkan oleh pihak media.
Namun, Upacara hari ini sekaligus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai kemelut yang dihadapi kerajaan campuran DAP, PKR dan PAS dalam pembentukan kerajaan negeri dan pengagihan barisan Exco.

Kerajaan campuran yang diterajui tiga parti itu dibentuk selepas memenangi 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada pilihan raya umum 8 Mac lepas manakala BN hanya menang 28 kerusi.

Anggota Exco yang mengangkat sumpah terdiri enam dari DAP, tiga dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang dari PAS.

Mereka ialah Ngeh Koo Ham (Sitiawan), Nga Kor Ming (Pantai Remis), Su Keong Siong (Pasir Pinji), Chen Fook Chye (Keranji), Seah Leong Peng (Pasir Bedamar), A Sivanesan (Sungkai), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Tai Sing Ng (Kuala Sepetang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Mohd Zainudin Mohd Yusof (Lubuk Merbau).

Pada istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan itu, kesemua mereka menerima watikah pelantikan sebelum diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Exco kerajaan negeri.

Mereka kemudiannya menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk V T Singham.

Hadir sama pada istiadat itu ialah Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria dan beberapa wakil Adun dari Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun tiada pengumuman mengenai portfolio termasuk dua jawatan Timbalan Menteri Besar seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Menteri Besar, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS mengangkat sumpah jawatan dan lafaz taat setia pada 17 Mac lepas.

Kini hanya tinggal Terengganu satu-satunya negeri yang masih belum dapat membentuk kerajaan negeri ekoran krisis dalaman BN menyebabkan pihak Istana menolak calon asal dikemukakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya Istana menerusi Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) mengambil keputusan melantik bukan calon pilihan Abdullah, Dato' Ahmad Said sebagai Menteri Besar baru Terengganu, 23 Mac lalu.

Dilaporkan majlis angkat sumpah Ahmad Said akan berlangsung esok. Sebelum ini Ahmad berkata beliau tidak perlu mengangkat sumpah sebaliknya memadai dengan watikah yang diterima dari MPPR untuk mengesahkan statusnya sebagai Menteri Besar Terengganu.

No comments: