Wednesday, April 9, 2008

berita utusan malaysia

Dah sahlah selama ini UMNO-BN meluluskan cukup banyak ladang ternakan babi di seluruh Selangor.. Maka UMNO-BN cuba atasi masalah ini dengan mengumpulkan semua di satu tempat.. Khir Toyo pun dah ngaku.. disebabkan idea ini bagus kerana semua masalah berkenaan kesan babi ini boleh diatasi, maka Kerajaan Selangor yang baru pun teruskan projek ini.. alih-alih UMNO-BN pulak bantah, kununnya melibatkan kos RM100juta sedangkan mereka pun tahu kos ini dibiayai oleh tokey-tokey babi tu sendiri , bukan guna duit kerajaan negeri pun.. anehnya, diorang bangkitkan, diorang hurai dan diorang pulak yang bantah .. kalau tak nyanyuk pun, gila babi agaknya puak UMNO-BN ni...

Babi ancam nelayan Tanjung Sepat

Oleh HAMDEN RAMLI



BANTAH...Sebahagian daripada 200 penduduk kampung di sekitar Sepang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, semalam, sebagai membantah keputusan Exco meneruskan projek mega ternakan babi di daerah itu. – Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH

--------------------------------------------------------------------------------



SEPANG 9 April – Kegiatan menternak babi yang tidak terkawal di beberapa kampung sekitar Tanjung Sepat dekat sini mengakibatkan kemusnahan alam sekitar yang teruk hingga menyebabkan penduduk hilang mata pencarian.

Kegiatan itu menyebabkan perairan sekitar kawasan tersebut tercemar teruk hingga menjejaskan aktiviti nelayan di samping kerosakan harta benda.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Kundang, Shahamid Sanusi, berkata, satu ketika dahulu aktiviti membuat belacan merupakan salah satu daripada mata pencarian utama penduduk di situ.

Bagaimanapun, akibat pencemaran, aktiviti itu sukar diteruskan kerana kekurangan udang geragau yang menjadi sumber utama dalam pembuatan belacan.

“Selain udang geragau, kawasan pesisir pantai di sini juga kaya dengan hidupan laut lain seperti ikan, kerang, kepah dan mentarang tetapi sekarang semuanya berkurangan kerana pencemaran yang dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa najis dari ladang-ladang babi yang banyak terdapat di kawasan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan meneruskan cadangan membina ladang ternakan babi moden di Kampung Tumbuk, Kuala Langat dalam Parlimen Sepang kerana kawasan itu telah menjadi tapak utama ladang babi.

Berikutan itu, orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah cadangan tersebut kerana dikhuatiri akan membawa pencemaran alam sekitar di Sepang.

Shahamid memberitahu, selain pantai sekitar kampung Tumbuk, pantai di kampung Gadong, pekan Tanjung Sepat dan Batu Laut antara yang teruk terjejas akibat pencemaran sisa buangan najis babi itu.

Katanya, kekurangan udang geragau juga menyebabkan kilang memproses belacan bernilai RM100,000 yang dibina oleh Jabatan Perikanan kini terbiar tidak digunakan.

Seorang penduduk, Hashnah Jemain berkata, lapan tahun lalu dia boleh menghasilkan sebanyak 100 ketul belacan seberat 500 gram setiap satu bagi menyara keluarganya.

Bagaimanapun katanya, hari ini untuk menghasilkan 20 ketul belacan amat sukar kerana kekurangan udang geragau.

Ketua Kampung Batu Laut, Bajuri Pakeh pula berkata, banyak kawasan paya bakau yang terdapat di situ telah musnah akibat pencemaran.

Katanya, dia bimbang kemusnahan akan menjadi lebih teruk kerana ramai pengusaha ladang babi itu kini sedang membesarkan kandang masing-masing.

“Jika tidak dikawal, saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi pada alam sekitar di kawasan ini malah sektor pelancongan termasuk homestay juga akan terjejas,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Noridah Endut memberitahu, tanah tepi laut seluas satu hektar milik keluarganya juga telah musnah akibat pencemaran.

“Dahulu kawasan itu pernah digunakan untuk menanam sayur-sayuran selain menjadi tempat berehat sekeluarga. Kini semua kehidupan telah mati dan pasir menjadi hitam,” katanya.

Ketua Unit Peladang Kampung Tanjung Layang, Saharudin Mohd. Said pula berkata, ramai penduduk di kawasan itu terpaksa mencari kerja di luar kampung untuk terus menyara keluarga masing-masing.

‘‘Tinggal di kampung pun tidak ada guna. Bukan boleh turun ke laut lagi,” katanya.

No comments: