Friday, April 11, 2008

Campur tangan Kerajaan Pusat dikecam - Presiden PAS

SM Noor
Fri | Apr 11, 08 | 7:48:38 am MYT


KUALA LUMPUR, 11 April (Hrkh) - Tindakan kerajaan pusat campur tangan dalam pentadbiran negeri-negeri dengan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKK) serta Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dikecam oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Beliau berkata kerajaan pusat mencabuli kuasa-kuasa kerajaan negeri dengan menubuhkan 'kerajaan dalam kerajaan' sebagaimana yang telah berlaku di Kelantan dan di Terengganu ketika ditadbir oleh PAS.

"Kerajaan pusat telah pun menubuhkan pelbagai Jabatan, tidak perlu diwujudkan sebuah lagi Jabatan kerajaan di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat," kata beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau mempelawa Barisan Nasional (BN) menyertai Pakatan Rakyat untuk mengislahkan system demokrasi di negara ini.

"Saya menjemput BN untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat, dan bukan kita yang menyertai mereka," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Sin Chew Daily, akhbar berbahasa Mandarin sebagaimana yang dipaparkan dalam versi internet akhbar tersebut yang turut dipetik oleh Buletinonline baru-baru ini.

Beliau percaya undang-undang dan peraturan mesti disemak semula untuk menyelamatkan sistem demokrasi di negara ini.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menjadi sebuah badan yang benar-benar adil dan telus dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mesti benar-benar bebas.

Justeru dengan itu, beliau berkata badan kehakiman juga mesti dibebaskan dari sebarang campurtangan dan konspirasi.

"BN mesti menerima prinsip-prinsip pembaharuan ini demi masa depan rakyat dan negara,"kata beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pendekatan yang digunakan oleh Pakatan Rakyat mendedahkan kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang lalu adalah kaedah yang tepat.

Beliau berkata Pakatan Rakyat perlu untuk membuat semakan ke atas fail-fail lama kerajaan BN sebagai permulaan usaha untuk membersihkan kerajaan.

Walau bagaimanapun, kata beliau usaha-usaha tersebut adalah sia-sia sekiranya kerajaan persekutuan tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.

"Polis dan BPR adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat, pengalaman kita (PAS) di Kelantan dan Terengganu, sukar untuk kita lihat agensi penguatkuasa mengambil tindakan terhadap kes-kes penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin BN.

"Namun mereka mengambil tindakan segera sekiranya yang terlibat itu adalah dari pemimpin pembangkang," jelas beliau lagi.

Beliau berharap agensi penguatkuasa bertindak di atas landasan keadilan, bukan membuat tindakan di atas dasar untuk 'menunjuk-nunjuk' bahawa mereka sebuah kerajaan yang bersih. - mks.

No comments: