Wednesday, April 16, 2008

Mini Kabinet Bangi




Adun Bangi wujudkan Kabinet Mini untuk laksana manifesto
Salmiyah Harun
Wed | Apr 16, 08 | 3:43:03 pm MYT


BANGI, 16 April (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi Dr Shafie Abu Bakar memberi watikah kepada 21 Ketua AJK Bertindak Kabinet Mini Dun Bangi sebagai penghormatan kepada mereka yang bertungkus-lumus membantu kemenangan PAS dalam pilihan raya lalu.

Menurut Shafie, pelantikan itu seolah-olah menjadikan Bangi sebuah 'Kerajaan Kecil' yang meniru Kabinet Kerajaan Pusat dan negeri Selangor di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Katanya, jawatankuasa bertindak seolah-olah sebagai kementerian dan exco di dalam kerajaan persekutuan dan negeri.

"Tetapi AJK Bertindak Kabinet Mini tidaklah seluruhnya mengikuti kementerian dan exco di peringkat pusat dan negeri, sebaliknya jawatankuasa bertindak yang dilantik adalah bagi menunaikan manifesto Bangi iaitu menjadikan Bangi, sejahtera, aman, mementingkan ilmu, prihatin dan berkebajikan," katanya.

Sebanyak 21 portfolio dibentuk dalam Kabinet Mini Dun Bangi antaranya Pendidikan, Institusi Agama dan JKKK, Penerangan, Wanita dan Kesihatan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kebajikan, Dakwah dan Tazkirah, Media, Amar Makruf dan Nahi Mungkar, Hubungan Antara Kaum dan Kelab Penyokong, dan Infrastruktur.

Dr Shafie turut menyampaikan watikah kepada 21 ketua portfolio dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Serdang di Dewan Cempaka di Bangunan PKNS, Bangi baru-baru ini.

Katanya ketika ditemui, Mini Kebinet ini dari sgei jumlahnya lebih besar dari kabinet Kerajaan Persekutuan dan exco kerajaan negeri tetapi ianya mempunyai tujuan tersendiri.

Tambahnya, tujuan utama pembentukan Mini Kebinet ini untuk membantu Adun Bangi mencari pendekatan terbaik yang efektif bagi melaksanakan tugas-tugas terhadap masyarakatnya menurut kepakaran masing-masing.

"Tenaga terbaik ini kita tidak mahu abaikan begitu sahaja selepas kemenangan bahkan kita mahu mereka terus memberi sumbangan terbaik mereka kepada Bangi yang mana mereka sendiri berasa megah dan bersyukur terhadap kemenangan yang dicapai," katanya.

Tegasnya, setiap portfolio yang dilantik dikehendaki melantik AJK kecil bertindak masing-masing antara tiga hingga lima orang bagi melicinkan perjalanan dan tindakan AJK kabinet.

"Dalam AJK bertindak bersifat multiracial khususnya dari kalangan orang India dan Cina turut dilantik, kita tidak ada diskriminasi," katanya.

Mesyuarat Agung PAS Kawasan Serdang kali ke-24 yang bertemakan 'Hargai Kemenangan Kita' telah dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Ir. Khalid Samad. - mns

No comments: