Thursday, April 17, 2008

Cadangan muafakat UMNO-PR


dari sinar harian edisi selangor 18/04/2008

MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam mengajak UMNO bermuafakat dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat bagi sama-sama mencari jalan yang dapat menjamin masa depan orang Melayu.

Katanya, permuafakatan antara UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam usaha menjamin masa depan orang Melayu mampu dilaksanakan sekiranya UMNO sendiri berani dan bersedia menerima pandangan daripada parti-parti lain.

Menurut Hadi, pandangan tersebut bukan sahaja melibatkan parti Pas dan PKR, malah DAP juga kerana DAP bukan seburuk yang disangka, sebaliknya mereka turut memiliki pandangan positif yang perlu diterima kerajaan.

Beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menimbangkan perkara ini sambil menerima perubahan asasi termasuk hakikat pembangkang yang sudah memimpin lima negeri.

“Perubahan ini termasuklah amalan demokrasi, badan kehakiman dan juga struktur pemerintahan,” ujarnya pada satu sidang akhbar khas yang diadakan di kediamannya di Kampung Rusila, di sini.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, sebagai orang Melayu beragama Islam beliau sedikit terkilan kerana UMNO cuba menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan cara terbuka.

“Biasanya orang Melayu kalau ada masalah rumah tangga, tidak berbincang di kedai kopi (luar) tapi orang UMNO bincang di luar. Ini luar daripada budaya dan adab Melayu,” ujarnya yang baru keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) petang kelmarin.

Menurut beliau, keputusan pilihan raya umum lalu menunjukkan bahawa UMNO tidak mengalami kekalahan begitu teruk, sebaliknya Parti Gerakan dan MCA yang menghadapi keadaan itu (kalah teruk).

“Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang ialah orang UMNO ‘bising’ kerana mereka kurang kuasa dan pemerintahan hingga ramai yang menjadi panik.

“UMNO yang masih ada kuasa seharusnya perlu mencari penyelesaian di peringkat nasional untuk menyambung pemerintahan lebih baik dan untuk pulih keadaan, bukannya pulih UMNO semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu, pemimpin tertinggi Pas itu mencadangkan pemimpin negara mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik lain termasuk Pas, PKR dan DAP untuk mewujudkan kerajaan lebih baik.

Ketika ditanya mengenai tahap kesihatan beliau yang diserang angin ahmar ringan minggu lalu, Hadi berkata, beliau akan berehat untuk sementara waktu sahaja dan akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sama seperti biasa selepas itu.

Menjawab soalan sama ada tugas beliau akan diserahkan kepada individu lain, Hadi memberitahu, beberapa pemimpin tinggi Pas termasuk timbalannya sendiri menjalankan tugasnya sebelum beliau sihat sepenuhnya.

“Penyakit saya tidak berat, sikit sahaja kerana mungkin kurang tidur dan bebanan kerja. Kini doktor nasihatkan supaya rehat dan turut menjalani rawatan. Dalam dua minggu saya akan pulih dan mampu menghadiri sidang Parlimen tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat terhadap beliau termasuk kakitangan HSNZ, pemimpin politik, kerajaan dan juga Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).



Setuju cadangan Hadi: Muhammad Taib

SHAH ALAM - Kecelaruan arah dan hala tuju Melayu yang berlaku hari ini perlu ditangani segera bagi memastikan bangsa itu terus kuat dan maju.

Sehubungan itu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, cadangan Pas yang mengajak UMNO bertemu dan berbincang mengenai hal orang Melayu dianggap tepat dan kena pada masanya.

“Secara peribadi saya melihat saranan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai suatu yang sangat menarik dan perlu difikirkan dengan serius oleh UMNO," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, kecelaruan yang timbul di kalangan Melayu semakin jelas apabila bangsa itu dilihat sudah mula tidak peduli beberapa perkara yang dianggap penting.

“Ada orang Melayu hari ini yang dilihat sudah tidak kisah dengan Dasar Ekonomi Baru, tidak peduli dengan perjanjian-perjanjian lampau. Semuanya hendak dilanggar atas kepentingan peribadi.

“Saya melihat bangsa Melayu sudah lari daripada matlamat asal perjuangan kita. Saya nampak ada orang-orang yang tidak peduli tentang itu semua.

“Saya fikir sangat elok untuk wujudkan satu persefahaman bagi menuju kepada matlamat itu (membicarakan hal Melayu).

“Memandangkan kita sedang membina satu bangsa, kita mesti mempunyai kekuatan menuju pembinaan satu bangsa yang kuat," jelasnya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, apa yang berlaku sekarang (kecelaruan di kalangan Melayu) diibaratkan seperti pepatah 'harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari'.

“Kita baru merdeka 50 tahun, kata orang baru nak 'kick off' tiba-tiba berlaku kekalutan ini di kalangan orang Melayu.

“Matlamat kita untuk membina satu bangsa yang maju, satu kaum yang kuat. Oleh itu mesti ada ketenangan bagi bangsa Melayu untuk mencapai matlamat itu. Takkan selepas 50 tahun merdeka kita makin berpecah," ujarnya.

Muhammad turut menegaskan, apa yang penting sekarang ialah perlu ada satu kekuatan bangsa.

“Jika Melayu bersatu kita boleh membina satu bangsa. Kita mesti pertahankan bangsa Melayu.

“Orang Melayu perlu sedar betapa sukarnya untuk kita memerdekakan negara dulu, membebaskan bangsa kita (Melayu) dari penjajah. Kita melalui pahit getir dan segala kepayahan untuk maju seperti hari ini.

"Oleh itu jangan anggap ini hanya untuk jangka masa pendek. Kita perlu melihat ia untuk jangka masa panjang, untuk generasi akan datang," katanya.

Hadi yang keluar dari hospital Selasa lalu selepas mendapat rawatan akibat serangan angin ahmar (yang ringan) membuat kenyataan mengajak UMNO bermuafakat dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat bagi sama-sama mencari jalan yang dapat menjamin masa depan orang Melayu.

Dalam laporan muka hadapan Sinar Harian semalam, Hadi dilaporkan berkata, permuafakatan antara UMNO, Pas dan PKR dalam usaha menjamin masa depan orang Melayu mampu dilaksanakan sekiranya UMNO sendiri berani dan bersedia menerima pandangan daripada parti-parti lain.

Menurut Hadi pandangan tersebut bukan sahaja melibatkan parti Pas dan PKR, malah DAP juga kerana parti itu bukan seburuk yang disangka, sebaliknya mereka turut memiliki pandangan positif yang perlu diterima.

Sehubungan itu Hadi berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menimbangkan perkara itu.

2 comments:

Anonymous said...

bagi kat pas la pulak jaga melayu ..aku malas dah ..nak tidoq

Cheguman said...

Setuju 100%.

Jika permuafakatan ini berjaya, Demang pun nak berehat. Lepas Isya' boleh tido.

Sesiapa yang ingin bersama Demang dalam agenda besar negara ini sila kunjungi http://waadat.blogspot.com